Tuesday, August 28, 2012

terlintas



Ramadhan kali ini baru sekali Markonah berkesempatan berikhtikaf, iftar dan terawikh di masjid kebangsaan.  Masjid Kebangsaan sangat mendamaikan jiwanya apabila dapat berterawikh di sana bersama teman-teman. Banyak juga kenangan yang menyentuh jiwa Markonah setiap kali berkunjung ke sana.

Pada Ramadhan ke 25, Mariah telah mengajak Markonah untuk bersama2 terawikh disana memandangkan Mariah belum pernah lagi ke sana Ramadhan kali ini. Bagai pucuk dicita, Markonah menerima pelawaan itu dengan hati yang berbunga-bunga. Keterujaan untuk beribadah disana terbayang-bayang di matanya. Manusia merancang, Allah juga yang menentukan. Petang itu mereka berdua tidak dapat iftar di sana kerana tugasan yang perlu disiapkan. Mereka mengambil keputusan untuk beriftar di masjid berhampiran, selepas maghrib akan memecut ke masjid kebangsaan.

Selepas maghrib, waktu senggang digunakan untuk memecut ke masjid kebangsaan. Selepas iftar, di hati Markonah terlintas, mahu mengambil peluang memasukkan sedikit sumbangan ke dalam tabung masjid kebangsaan. Sedikit wang dimasukkan ke poket sebelum memulakan perjalanan. Setibanya di masjid kebangsaan, Markonah dan Mariah memanjat tangga yang jauh dari tabung masjid menuju ke dewan solat.

Dalam hati Markonah, 'jauhlah pula tangga yang ada tabung tu, nanti jelah, baik solat dulu..'
Markonah dan Mariah menuju terus ke dewan solat utama dan mematikan niatnya. Wuduk yang masih terpelihara juga menyebabkan Markonah merasa culas untuk pergi ke tabung berdekatan tempat wuduk.

Azan Isyak berkumandang,muslimin juga muslimat  mengerjakan solat Isyak berjemaah bersama. Pada rakaat terakhir, Markonah terbersin sekuat hatinya.Tidak semena-mena air merembes di hidungnya. Selepas salam, Markonah mencari-cari tisu di dalam begnya. Sungguh hampa dihati kerana tisu tiada di dalam beg yang dibawanya. Markonah bertanya kepada Mariah, Mariah juga tidak membawa tisu pada hari itu. Markonah bangun dari saf jemaah itu, menuju ke tandas di bahagian bawah masjid.

Allah Maha Besar. Markonah melalui tangga yang diletakkan tabung masjid itu. Markonah terkejut apabila dia terlihat segulung tisu di atas tabung itu. Markonah mengeluarkan sedikit wang yang telah diniatkan dan dimasukkan ke dalam tabung itu.  Dia mengambil sedikit tisu bagi mengelap rembesan bersin di tangannya.  Terduduk seketika di bangku dalam kawasan masjid kebangsaan. Betapa Maha Pengasih daan Penyayangnya Allah yang Maha Esa.  Mentarbiyah diri Markonah yang sedikit terleka, yang hampir-hampir saja melupakan niat di hatinya.

Malam itu, Markonah & Mariah berterawikh dengan hati yang gembira.

Mereka bersyukur atas tarbiyah yang diberi. Bersyukur masih lagi menjadi hamba Ilahi. Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah.


p/s:tiada kebetulan dalam hidup ini, semuanya sudah di dalam rencana Ilahi ;)

No comments: